Apa akan terjadi sekiranya kita memandu kenderaan dan tidak terdapat sebarang tanda, petunjuk di tepi jalan. Ke mana Kita akan Tuju ? Begitulah Jua Kehidupan Ini.
Friday, 25 May 2012
Saturday, 5 May 2012
Jiwa Dai’e Otak Faqih

Semasa hayat Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu
peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid
bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau
dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa
yang keras. Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh
mereka yang bertelagah itu, mana satukah pendapat yang betul dalam hal
ini?
Kata Hasan al-Banna, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?”
Mereka menjawab, “solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.
Lantas Hasan al-Banna menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan
kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang
sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan, tunaikan lapan, bagi yang
mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”.
Inilah yang saya maksudkan sebagai Jiwa Da’i Otak Faqih.
Bagi kita yang berperanan sebagai Da’i, perlu sentiasa ingat bahawa
tugas kita adalah untuk mengumpulkan manusia seramai mungkin di bawah
panji Islam. Untuk itu kita perlu mengamalkan suatu akhlak yang diajar
oleh Nabi s.a.w. untuk para Da’i.
Ketika seorang Arab badwi masuk ke masjid dan kencing ke dinding
masjid, Baginda SAW menegah sahabat daripada bertindak ke atas Badwi
itu. Dia datang dengan kesilapan adab, tetapi dengan niat mahu
mempelajari Islam. Utamakan niat tersebut, dan teladan Nabawi ini saya
simpulkan ia di bawah suatu sikap positif berbunyi, “Seek First to Understand, Then to be Understood“.
Kita perlu belajar untuk memahami mad’u yang diseru dan bukannya
siang malam pagi petang berleter marahkan orang ramai yang tidak
faham-faham akan mesej Islam yang kita cuba bawa.
Dalam isu Hasan al-Banna di atas, jiwanya sebagai seorang Da’i tidak melihat perbalahan soal afdhaliyyah
Solat Terawih sebagai soal hukum atau masalah nas. Masalah yang berlaku
di masjid berkenaan adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR.
Perbezaan pandangan tentang keutamaan di antara 8 atau 20 rakaat
solat Sunat Tarawih itu sudah lama, seusia dengan umur umat ini. Namun
ia tidak pernah menjadi racun yang membunuh kesatuan umat, sehinggalah
persoalan hukum dikelabukan oleh permasalah yang lebih besar.
Masalah sikap.
Masalah akhlaq.
Hal seperti itu bukanlah masalah yang boleh diselesaikan dengan
melambakkan sebanyak mungkin nas al-Quran dan Hadith kerana dengan cara
berfikir yang salah, tiada siapa yang mampu menghargai nas al-Quran dan
Hadith.
Inilah yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita dan saya tidak
menyalahkan orang ramai seandainya mereka bosan dengan pendekatan para
agamawan yang asyik menyelesaikan masalah dengan pendekatan ‘hukumnya
ialah…” DA’I HARUS LEBIH TINGGI UPAYA MEMAHAMI.
Seorang Da’i yang berjiwa Da’i akan belajar untuk memahami mad’u yang
diseru, sebelum dia boleh meletakkan harapan agar mad’unya memahami
dakwah yang dia bawa.
Mari kita semua bermenung di KLCC Suria or One Utama Shopping Complex
selama 30 minit dan ukurlah berapa jarak manusia di situ dengan
mimbar-mimbar masjid dan ‘usrah’ kita. Pernahkah kita menilai sudah
berapa jauhkah masyarakat kita berubah dan sudah berapa jauhkan kita
mengubah pendekatan dakwah kita untuk mengejar perubahan masyarakat?
Saya selalu terkenang dialog saya ketika bertemu dengan seorang anak
gadis kita yang telah 10 tahun membesar di England. Semenjak usianya 10
tahun dan kini telah mencecah 20 tahun, beliau dibesarkan di Boarding
School, jauh dari alam Melayu malah Islam barangkali. Dialog saya
bersamanya bermula dengan soalan yang sangat tidak dijangka. Dia
mengajukan soalan kepada saya, “do you believe in wearing scarf for
Muslim girl? I don’t believe in wearing scarf. If God doesn’t want us to
show our hair, then He will create us bald. I don’t want to wear scarf.”
Soalannya amat provokatif. Dia juga bertanya soal kenapa mesti solat,
kenapa tidak boleh bela anjing di rumah dan beberapa soalan lain, yang
asalnya tidak terjangkau oleh fikiran saya ia akan ditanya oleh seorang
Muslim.
Seandainya saya mengambil pendekatan ‘seorang ustaz’, mungkin saya
akan leterkan beliau ayat-ayat al-Quran dan Hadith berkaitan kewajipan
bertudung dengan panjang lebar dan penuh nota kaki. Akhirnya saya sahaja
yang syok sendiri terhadap betapa banyakkan dalil yang berjaya
saya ingat dan bentangkan dengan fasih! Gadis tersebut mungkin menguap
dan menutup telinganya sambil menanti saya mengangkat punggung dan
beredar.
Saya tidak punya pengalaman untuk mengendalikan keadaan seperti itu.
Bekalan yang ada hanya sebuah sikap yang saya yakin penting. Tekan
butang pause, bertenang, dan cuba untuk melihat apa yang tidak
diperlihatkan. Persoalan sebenar berbanding persoalan yang ditanya.
Apakah benar, tudung, solat dan bela anjing itu masalah sebenarnya, atau
ada masalah lain yang lebih kritikal di sebalik semua itu.
“Saya tidak rasa itu patut jadi persoalan awalan kita. Mungkin elok
kita bincang persoalan yang lebih perlu diselesaikan. Sesuatu yang lebih
pokok,” saya memberanikan diri mencadang.
“Oh begitu. Baik, apa persoalan utama ustaz?” tanya gadis tadi.
“Apa tujuan hidup awak? Apa yang awak nak capai dalam hidup ini?” saya menyoal.
“Penting sangatkah nak tahu tentang tujuan hidup?”, tanyanya lagi.
“Cuba awak bayangkan, kita adakan permainan bola sepak, tetapi di
padang bola tiada tiang gol! Atau awak main golf tetapi tidak tahu di
mana lubangnya. Apa rasanya kalau awak terlibat dalam permainan seperti
itu?” saya menguji.
“Silly game.. mengarut!” ujarnya sambil tersengih.
“Well, kita mungkin ketawakan mereka yang main bola atau
golf begitu, tetapi sebenarnya kita sedang ketawakan ramai manusia yang
hidupnya tiada tiang gol dan tiada lubang golf. Betul tak?” saya
menyoalnya.
Dia menggangguk.
“Kalau kita tak tahu tujuan hidup kita yang sebenar, bagaimana kita
nak fokus dan membuat prioriti? Saya yakin saudari boleh setuju bahawa
kegagalan untuk fokus dan membuat prioriti, adalah cara mudah untuk
gagal dalam hidup. Awak setuju?” saya meneruskan perbualan.
“Ya, saya boleh bersetuju.” jawabnya.
“Jadi, apa tujuan hidup awak?” saya menyoal.
“Saya nak berjaya dalam kerjaya, ada firm sendiri dan dengan pendapatan jutaan Pound setahun!” katanya dengan yakin.
“Awak belum dapat berjuta Pound setahun. Ada orang dapat berjuta
Pound sehari, tak bahagia pun. Tu si Donald Trumph, kaya raya. Tetapi
dia tidak bahagia, ‘diceraikan’ oleh isterinya. Saya tidak rasa berjuta
Pound itu tujuan hidup awak atau sesiapa” saya mengulas sedikit. Cuba
melontar provokasi.
“Hmm…,” dia mengeluh. Sepi tanpa jawapan…
“Habis, apa tujuan hidup ustaz?” gadis itu bertanya kepada saya.
“Hmm, awak rasa, saya ada ke jawapannya? Awak ada jawapannya? Saya
rasa kita sama-sama tak ada jawapan sebab TUJUAN HIDUP kita telah ada
sebelum kita lahir. Jika kita tanya lampu ni kenapa dia diciptakan,
andai dia boleh menjawab, mungkin dia tidak tahu kenapa dia berada di
sini. Logiknya kita kena tanya kilang yang membuat lampu itu tadi. Dan
kalau kita tanya ke kilang, mereka akan memberikan koleksi soalan dan
jawapan di dalam sebuah KITAB bernama Instruction Manual. Begitulah
juga dengan manusia. Jika mahu kepada jawapan, kenalah tanya kepada
Tuhan yang menciptakan manusia iaitu Allah. Dan Allah telah memberikan
kepada kita koleksi soalan dan jawapan di dalam Instruction Manual-Nya yang bernama…” cakap saya terputus.
“Al-Quran! What does the Quran say about our PURPOSE OF LIFE?“, gadis tersebut memintas saya dengan soalannya.
“DAN tidaklah Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan supaya mereka
beribadah dan mengabdikan diri kepadaKu. Surah al-Dzariyat ayat 56″ saya menjawab.
Lantas saya mengambil peluang untuk menjelaskan secara ringkas kepada
beliau konsep ibadah dalam Islam. Bahawa selain solat dan ibadah khusus
yang lain, apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan jika memenuhi
kriteria Islam, maka ia jadi ibadah. Dan akhirnya saya membuat
kesimpulan berikut:
“Seandainya saudari boleh menerima hakikat yang saudari perlukan
Tuhan dalam hidup ini, maka barulah saya boleh menjawab soalan kenapa
kita kena sembahyang. Kita perlu sembahyang kerana kita perlukan Tuhan
dalam hidup ini. Jika saudari boleh bersetuju dengan kewajipan
sembahyang, maka barulah saya boleh terangkan kenapa saudari kena pakai
tudung. Analoginya jika kita mengadap Yang Di Pertuan Agung pun ada kod
berpakaian, dan itu haknya kerana dia ketua pemerintah negara. Maka
apatah lagi untuk menghadap Allah di dalam sembahyang dan di luar
sembahyang, tentunya kita kena bertudung kerana itu kehendak Dia. Dan
jika awak setuju sampai ke situ, saya boleh jelaskan kenapa Islam tidak
benarkan kita bela anjing. Islam cuma mengajar, andai dijilat anjing,
samaklah dengan air dan tanah. Tetapi Islam tidak pernah mengajar kita
supaya membenci anjing dan memukulnya. Itu semua soal adat. Jangan
salahkan Islam atas apa yang orang Melayu buat!” saya mengakhiri
penerangan terhadap semua persoalan yang tertangguh.
PERCUBAAN
Alhamdulillah dalam tempoh sejam pertemuan saya dengannya, itulah hasil perbincangan kami.
Walaupun kesannya saya tidak pasti tetapi sekurang-kurangnya saya sudah mencuba untuk menghadapi mad’u saya dengan konsep Jiwa Da’i Otak Faqih dan tidak sebaliknya.
Gadis itu ada latar belakang keluarga yang berbeza. Dia bukan seperti
saya dan kehidupan saya. Kerana itulah saya mesti terlebih dahulu cuba
belajar untuk memahami keadaan dia sebelum memutuskan apakah pendekatan
dakwah yang patut saya ambil. Andai saya hamburkan kemarahan atas
provokasi gadis tadi, tentulah perbualan kami terhenti di situ dan saya
sekadar menggelengkan kepala sambil tersenyum secara sinis, “inilah perangai bebudak sekarang!”
sumber : saifulislam.com/?p=1820
Friday, 4 May 2012
Apa itu Sumber Terbuka ?
Sumber terbuka merujuk
kepada beberapa prinsip dan amalan tertentu yang menggalakkan akses kepada reka
bentuk dan proses pengeluaran barangan. Istilah ini biasanya digunakan pada kod
sumber bagi sesebuah perisian yang boleh dilihat dan diubah secara bebas oleh
orang ramai tanpa sebarang sekatan undang-undang harta intelek. Amalan ini
membolehkan pengguna membangunkan perisian tersebut melalui sumbangan individu
ataupun kerjasama orang ramai.
![]() |
| Carian di google berkenaan sumber terbuka |
Sumber terbuka tidak sahaja
bermaksud akses kepada kod sumber. Terma pengedaran bagi perisian
sumber terbuka harus menepati kriteria-kriteria berikut:
1. Pengedaran Semula Bebas
Lesen tersebut tidak menghadkan
mana-mana pihak dari menjual atau memberi perisian sebagai
komponen daripada satu edaran perisian lengkap yang
mengandungi aturcara dari pelbagai sumber. Lesen ini tidak
memerlukan sebarang royalti atau lain-lain bayaran bagi penjualan
tertentu.
2. Kod Sumber
Aturcara tersebut perlu
mengandungi kod sumber, dan membolehkan pengedaran kod sumber serta
pengedaran dalam bentuk kompil. Dimana sesetengah bentuk produk tidak
diedarkan bersama kod sumber, harus terdapat satu cara yang diketahui
ramai bagi mendapatkan kod sumber pada kos reproduksi berpatutan atau
boleh dimuat turunkan melalui Internet tanpa sebarang bayaran. Kod
sumber haruslah menjadi bentuk utama seorang pengaturcara membuat pindaan
terhadap sesuatu aturcara. Kod sumber yang sengaja mengelirukan tidak
dibenarkan. Bentuk pertengahan seperti output prapemproses
atau penterjemah tidak dibenarkan.
3. Kerja Bersumber
Lesen tersebut harus membenarkan
modifikasi serta kerja bersumber dan perlu membenarkan ia
diedarkan dibawah terma yang sama dengan lesen perisian asal.
4. Keutuhan Kod Pencipta Kod
Sumber
Lesen tersebut boleh menghadkan
kod sumber daripada diedarkan dalam bentuk berpinda hanya jika lesen
tersebut membenarkan pengedaran fail tampung bersama kod sumber dengan
tujuan meminda aturcara tersebut pada masa pembuatan. Lesen tersebut
perlu secara jelas membenarkan edaran perisian yang dibangunkan dari kod
sumber yang telah dipinda. Lesen tersebut boleh menghendaki kerja
bersumber menggunakan nama yang lain atau nombor versi yang lain daripada
perisian asal.
5. Tiada Diskriminisasi Terhadap
Seseorang Atau Kumpulan
Lesen tersebut tidak boleh
mendiskriminisasi terhadap seseorang atau sekumpulan orang.
6. Tiada Diskriminasi Terhadap
Usaha Bidang Lain
Lesen tersebut tidak boleh
menghalang sesiapa lain daripada mengguna-semula aturcara tersebut bagi
sebarang usaha dalam bidang lain.
Sebagai contoh, lesen tersebut
tidak boleh melarang sesiapa daripada menggunakan aturcara dalam bidang
perniagaan ataupun digunakan dalam kajian genetik.
7. Pengedaran Lesen
Hak yang dikaitkan dengan
aturcara harus bersabitkepada sesiapa yang mengedar semula aturcara tersebut
tanpa perlu dikeluarkan lesen tambahan.
8. Lesen Tidak Boleh Khusus
Kepada Satu Produk
Hak yang dikaitkan dengan
aturcara tidak bolehbergantung kepada aturcara tersebut sebagai sebahagian
daripada distribusi perisian tertentu.
Jika aturcara ini diekstrak
daripada distribusi tersebut atau digunakan atau diedarkan dibawahterma lesen
aturcara tersebut, semua pihak yang mana aturcara itu telah diedarkan harus
mempunyai hak yang sama dengan mereka yang mendapat hakbersamaan edaran
aturcara asal.
9. Lesen Tidak Boleh Menghadkan
Perisian Yang Lain
Lesen tersebut tidak boleh
meletakkan larangan kepada perisian lain yang diedarkan bersama perisian asal.
Sebagai contoh, lesen tersebut tidak boleh menghadkan bahawa aturcara yang lain
diedarkan diatas medium sama harus juga perisian sumber terbuka.
Projek perisian bebas yang
dikenali sebagi Projek GNU diketuai oleh
Richard Stallman. Ia bermula pada 1983 untuk membangunkan sistem
pengoperasian seperti UNIX lengkap
yang mempunyai pengkompil, aturcara aplikasi, utiliti pembangunan dan
sebagainya. Pada 1991, apabila versi pertama kerangka Linux ditulis,
projek GNU telah menghasilkan hampir kesemua komponen sistem ini — kecuali
kernel. Torvalds dan pembangun kernel seperti Linux menyesuaikan kernel mereka
supaya dapat berfungsi dengan komponen GNU, dan seterusnya mengeluarkan sistem
pengoperasian Linux yang cukup
berfungsi. Oleh itu, Linux melengkapkan
ruang terakhir dalam rancangan projek perisian bebas.Pada asasnya konsep
perisian bebas merujuk kepada kebebasan bukannya harga.
Untuk memahamainya Richard Stallman berkata:
`Free software' is a matter of
liberty, not price. To understand the concept, you should think of `free' as in
`free speech,' not as in `free beer.'
Free yang disebutkan bermaksud
bebas, ia seperti 'kebebasan bersuara' bukan seperti 'bir yang percuma'. Bebas
yang di maksudkan disini adalah :
- bebas untuk mengguna
- bebas untuk menyalin
- bebas untuk mengkaji dan mengubahsuai
- bebas untuk mengedarkannya
- bebas untuk memperbaiki
Disebabkan ia bebas pengguna
tidak perlu mememinta kebenaran atau membayar lesen untuk
mengguna, menyalin, mengubahsuai dan mengedar perisian tersebut.
Subscribe to:
Comments (Atom)
