
Semasa hayat Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu
peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid
bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau
dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa
yang keras. Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh
mereka yang bertelagah itu, mana satukah pendapat yang betul dalam hal
ini?
Kata Hasan al-Banna, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?”
Mereka menjawab, “solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.
Lantas Hasan al-Banna menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan
kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang
sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan, tunaikan lapan, bagi yang
mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”.
Inilah yang saya maksudkan sebagai Jiwa Da’i Otak Faqih.
Bagi kita yang berperanan sebagai Da’i, perlu sentiasa ingat bahawa
tugas kita adalah untuk mengumpulkan manusia seramai mungkin di bawah
panji Islam. Untuk itu kita perlu mengamalkan suatu akhlak yang diajar
oleh Nabi s.a.w. untuk para Da’i.
Ketika seorang Arab badwi masuk ke masjid dan kencing ke dinding
masjid, Baginda SAW menegah sahabat daripada bertindak ke atas Badwi
itu. Dia datang dengan kesilapan adab, tetapi dengan niat mahu
mempelajari Islam. Utamakan niat tersebut, dan teladan Nabawi ini saya
simpulkan ia di bawah suatu sikap positif berbunyi, “Seek First to Understand, Then to be Understood“.
Kita perlu belajar untuk memahami mad’u yang diseru dan bukannya
siang malam pagi petang berleter marahkan orang ramai yang tidak
faham-faham akan mesej Islam yang kita cuba bawa.
Dalam isu Hasan al-Banna di atas, jiwanya sebagai seorang Da’i tidak melihat perbalahan soal afdhaliyyah
Solat Terawih sebagai soal hukum atau masalah nas. Masalah yang berlaku
di masjid berkenaan adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR.
Perbezaan pandangan tentang keutamaan di antara 8 atau 20 rakaat
solat Sunat Tarawih itu sudah lama, seusia dengan umur umat ini. Namun
ia tidak pernah menjadi racun yang membunuh kesatuan umat, sehinggalah
persoalan hukum dikelabukan oleh permasalah yang lebih besar.
Masalah sikap.
Masalah akhlaq.
Hal seperti itu bukanlah masalah yang boleh diselesaikan dengan
melambakkan sebanyak mungkin nas al-Quran dan Hadith kerana dengan cara
berfikir yang salah, tiada siapa yang mampu menghargai nas al-Quran dan
Hadith.
Inilah yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita dan saya tidak
menyalahkan orang ramai seandainya mereka bosan dengan pendekatan para
agamawan yang asyik menyelesaikan masalah dengan pendekatan ‘hukumnya
ialah…” DA’I HARUS LEBIH TINGGI UPAYA MEMAHAMI.
Seorang Da’i yang berjiwa Da’i akan belajar untuk memahami mad’u yang
diseru, sebelum dia boleh meletakkan harapan agar mad’unya memahami
dakwah yang dia bawa.
Mari kita semua bermenung di KLCC Suria or One Utama Shopping Complex
selama 30 minit dan ukurlah berapa jarak manusia di situ dengan
mimbar-mimbar masjid dan ‘usrah’ kita. Pernahkah kita menilai sudah
berapa jauhkah masyarakat kita berubah dan sudah berapa jauhkan kita
mengubah pendekatan dakwah kita untuk mengejar perubahan masyarakat?
Saya selalu terkenang dialog saya ketika bertemu dengan seorang anak
gadis kita yang telah 10 tahun membesar di England. Semenjak usianya 10
tahun dan kini telah mencecah 20 tahun, beliau dibesarkan di Boarding
School, jauh dari alam Melayu malah Islam barangkali. Dialog saya
bersamanya bermula dengan soalan yang sangat tidak dijangka. Dia
mengajukan soalan kepada saya, “do you believe in wearing scarf for
Muslim girl? I don’t believe in wearing scarf. If God doesn’t want us to
show our hair, then He will create us bald. I don’t want to wear scarf.”
Soalannya amat provokatif. Dia juga bertanya soal kenapa mesti solat,
kenapa tidak boleh bela anjing di rumah dan beberapa soalan lain, yang
asalnya tidak terjangkau oleh fikiran saya ia akan ditanya oleh seorang
Muslim.
Seandainya saya mengambil pendekatan ‘seorang ustaz’, mungkin saya
akan leterkan beliau ayat-ayat al-Quran dan Hadith berkaitan kewajipan
bertudung dengan panjang lebar dan penuh nota kaki. Akhirnya saya sahaja
yang syok sendiri terhadap betapa banyakkan dalil yang berjaya
saya ingat dan bentangkan dengan fasih! Gadis tersebut mungkin menguap
dan menutup telinganya sambil menanti saya mengangkat punggung dan
beredar.
Saya tidak punya pengalaman untuk mengendalikan keadaan seperti itu.
Bekalan yang ada hanya sebuah sikap yang saya yakin penting. Tekan
butang pause, bertenang, dan cuba untuk melihat apa yang tidak
diperlihatkan. Persoalan sebenar berbanding persoalan yang ditanya.
Apakah benar, tudung, solat dan bela anjing itu masalah sebenarnya, atau
ada masalah lain yang lebih kritikal di sebalik semua itu.
“Saya tidak rasa itu patut jadi persoalan awalan kita. Mungkin elok
kita bincang persoalan yang lebih perlu diselesaikan. Sesuatu yang lebih
pokok,” saya memberanikan diri mencadang.
“Oh begitu. Baik, apa persoalan utama ustaz?” tanya gadis tadi.
“Apa tujuan hidup awak? Apa yang awak nak capai dalam hidup ini?” saya menyoal.
“Penting sangatkah nak tahu tentang tujuan hidup?”, tanyanya lagi.
“Cuba awak bayangkan, kita adakan permainan bola sepak, tetapi di
padang bola tiada tiang gol! Atau awak main golf tetapi tidak tahu di
mana lubangnya. Apa rasanya kalau awak terlibat dalam permainan seperti
itu?” saya menguji.
“Silly game.. mengarut!” ujarnya sambil tersengih.
“Well, kita mungkin ketawakan mereka yang main bola atau
golf begitu, tetapi sebenarnya kita sedang ketawakan ramai manusia yang
hidupnya tiada tiang gol dan tiada lubang golf. Betul tak?” saya
menyoalnya.
Dia menggangguk.
“Kalau kita tak tahu tujuan hidup kita yang sebenar, bagaimana kita
nak fokus dan membuat prioriti? Saya yakin saudari boleh setuju bahawa
kegagalan untuk fokus dan membuat prioriti, adalah cara mudah untuk
gagal dalam hidup. Awak setuju?” saya meneruskan perbualan.
“Ya, saya boleh bersetuju.” jawabnya.
“Jadi, apa tujuan hidup awak?” saya menyoal.
“Saya nak berjaya dalam kerjaya, ada firm sendiri dan dengan pendapatan jutaan Pound setahun!” katanya dengan yakin.
“Awak belum dapat berjuta Pound setahun. Ada orang dapat berjuta
Pound sehari, tak bahagia pun. Tu si Donald Trumph, kaya raya. Tetapi
dia tidak bahagia, ‘diceraikan’ oleh isterinya. Saya tidak rasa berjuta
Pound itu tujuan hidup awak atau sesiapa” saya mengulas sedikit. Cuba
melontar provokasi.
“Hmm…,” dia mengeluh. Sepi tanpa jawapan…
“Habis, apa tujuan hidup ustaz?” gadis itu bertanya kepada saya.
“Hmm, awak rasa, saya ada ke jawapannya? Awak ada jawapannya? Saya
rasa kita sama-sama tak ada jawapan sebab TUJUAN HIDUP kita telah ada
sebelum kita lahir. Jika kita tanya lampu ni kenapa dia diciptakan,
andai dia boleh menjawab, mungkin dia tidak tahu kenapa dia berada di
sini. Logiknya kita kena tanya kilang yang membuat lampu itu tadi. Dan
kalau kita tanya ke kilang, mereka akan memberikan koleksi soalan dan
jawapan di dalam sebuah KITAB bernama Instruction Manual. Begitulah
juga dengan manusia. Jika mahu kepada jawapan, kenalah tanya kepada
Tuhan yang menciptakan manusia iaitu Allah. Dan Allah telah memberikan
kepada kita koleksi soalan dan jawapan di dalam Instruction Manual-Nya yang bernama…” cakap saya terputus.
“Al-Quran! What does the Quran say about our PURPOSE OF LIFE?“, gadis tersebut memintas saya dengan soalannya.
“DAN tidaklah Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan supaya mereka
beribadah dan mengabdikan diri kepadaKu. Surah al-Dzariyat ayat 56″ saya menjawab.
Lantas saya mengambil peluang untuk menjelaskan secara ringkas kepada
beliau konsep ibadah dalam Islam. Bahawa selain solat dan ibadah khusus
yang lain, apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan jika memenuhi
kriteria Islam, maka ia jadi ibadah. Dan akhirnya saya membuat
kesimpulan berikut:
“Seandainya saudari boleh menerima hakikat yang saudari perlukan
Tuhan dalam hidup ini, maka barulah saya boleh menjawab soalan kenapa
kita kena sembahyang. Kita perlu sembahyang kerana kita perlukan Tuhan
dalam hidup ini. Jika saudari boleh bersetuju dengan kewajipan
sembahyang, maka barulah saya boleh terangkan kenapa saudari kena pakai
tudung. Analoginya jika kita mengadap Yang Di Pertuan Agung pun ada kod
berpakaian, dan itu haknya kerana dia ketua pemerintah negara. Maka
apatah lagi untuk menghadap Allah di dalam sembahyang dan di luar
sembahyang, tentunya kita kena bertudung kerana itu kehendak Dia. Dan
jika awak setuju sampai ke situ, saya boleh jelaskan kenapa Islam tidak
benarkan kita bela anjing. Islam cuma mengajar, andai dijilat anjing,
samaklah dengan air dan tanah. Tetapi Islam tidak pernah mengajar kita
supaya membenci anjing dan memukulnya. Itu semua soal adat. Jangan
salahkan Islam atas apa yang orang Melayu buat!” saya mengakhiri
penerangan terhadap semua persoalan yang tertangguh.
PERCUBAAN
Alhamdulillah dalam tempoh sejam pertemuan saya dengannya, itulah hasil perbincangan kami.
Walaupun kesannya saya tidak pasti tetapi sekurang-kurangnya saya sudah mencuba untuk menghadapi mad’u saya dengan konsep Jiwa Da’i Otak Faqih dan tidak sebaliknya.
Gadis itu ada latar belakang keluarga yang berbeza. Dia bukan seperti
saya dan kehidupan saya. Kerana itulah saya mesti terlebih dahulu cuba
belajar untuk memahami keadaan dia sebelum memutuskan apakah pendekatan
dakwah yang patut saya ambil. Andai saya hamburkan kemarahan atas
provokasi gadis tadi, tentulah perbualan kami terhenti di situ dan saya
sekadar menggelengkan kepala sambil tersenyum secara sinis, “inilah perangai bebudak sekarang!”
sumber : saifulislam.com/?p=1820
No comments:
Post a Comment